Showing posts with label Anwar Ibrahim. Show all posts
Showing posts with label Anwar Ibrahim. Show all posts

Tuesday, April 17, 2012

anwar memang LUPA

Anwar lupa – Dr. Mahathir

KUBANG PASU 15 April – Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan bercadang memansuhkannya jika menjadi Perdana Menteri menunjukkan perangai sebenar Ketua Pembangkang itu yang gemar membuat janji tanpa memikirkan apa yang pernah dia sendiri perkatakan.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (gambar) berkata, tindakan itu menunjukkan Anwar sudah lupa apa yang telah dilakukannya ketika menjadi Menteri Kewangan semasa penubuhan PTPTN dahulu.
Beliau bagaimanapun, tidak mengulas lanjut mengenai apakah perkara yang telah dilupakan Anwar.
“Itulah Anwar, dia tidak tahu apa dia fikir pun, dia lupa,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Pengasasan Ke-28 Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok di sini hari ini.
Turut hadir isteri beliau, Tun Dr. Hasmah Mohd. Ali; Pro Canselor UUM, Tun Dr. Ahmad Fairuz Datuk Sheikh Abdul Halim; Pengerusi Lembaga Pengarah UUM, Tan Sri Samsudin Osman; Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak; Presiden Alumni universiti berkenaan, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir.
Dr. Mahathir ditanya mengenai hasrat Anwar yang mahu memansuhkan PTPTN sekiranya pembangkang memenangi pilihan raya umum akan datang dan beliau menjadi Perdana Menteri.
Sebelum ini, Utusan Malaysia yang memetik kenyataan pengendali blog RBF Online melaporkan, hakikatnya Anwar merupakan individu yang bertanggungjawab meluluskan penubuhan PTPTN pada 1 Julai 1997.
Menurut blog tersebut, pada 1997, Tun Dr. Mahathir yang merupakan Perdana Menteri ketika itu mengambil cuti dua bulan lebih dan melantik Anwar yang merupakan timbalannya sebagai Pemangku Perdana Menteri.
Blog berkenaan mendakwa Anwar dilantik sebagai Pemangku Perdana Menteri bermula 9 Mei sehingga 26 Julai 1997 dan dalam tempoh itu beliau mempunyai kuasa yang dimiliki oleh seorang Perdana Menteri.
Menurut Dr. Mahathir, penyediaan pinjaman PTPTN telah membantu rakyat khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah untuk menyambung pelajaran mereka ke peringkat lebih tinggi.
“Kita boleh mansuh PTPTN tetapi orang yang minta nak mansuh sahaja yang terlibat. Orang lain yang masih inginkan pinjaman PTPTN, kita bagilah. Orang yang tak bantah PTPTN kita boleh bantu, orang yang bantah kita jangan bagi dan tiada pendidikan percuma bagi mereka kerana kita tiada sistem pendidikan percuma di peringkat ketiga,” ujar beliau.
Terdahulu dalam ucapannya, Dr. Mahathir berkata, kemajuan dan pembangunan yang dinikmati negara pada masa ini adalah berikutan penekanan terhadap kepentingan ilmu pengetahuan di kalangan rakyat selepas merdeka.
Ini kerana kata beliau, kerajaan percaya hanya ilmu pengetahuan boleh menyumbang kepada pembangunan negara dan telah membelanjakan peruntukan yang banyak untuk meningkatkan pelajaran kepada rakyat.
“Atas sebab itulah di Malaysia sejak awal lagi peruntukan sebanyak 25 peratus daripada belanjawan setiap tahun diberi untuk pelajaran bagi meningkatkan ilmu pengetahuan. Ini adalah satu pelaburan untuk masa depan kerana kita yakin kalau rakyat mempunyai pelajaran yang cukup, maka dapat bangunkan negara dengan lebih pesat dan baik,” katanya.

SUMBER  utusan

Sunday, February 19, 2012

REGIME CHANGE

1. Amerika Syarikat bersama dengan negara-negara Eropah lain dan juga Israel berhajat untuk melakukan “regime change”, iaitu menukar kerajaan-kerajaan negara-negara di dunia yang tidak menyokong mereka. 2. Mereka akan melakukan “regime change” ini melalui pelbagai cara. Di Iraq mereka melaksanakan “sanction” sekatan dagangan pada mulanya dan kemudian berperang dengan Saddam Hussein untuk menukar kerajaan Iraq. Dan mereka berjaya.
3. Mereka juga cuba menukar kerajaan Iran dengan menghasut dan membantu Iraq untuk berperang dengan Iran. Usaha ini gagal. Hari ini mereka masih mencuba dengan menyekat negara-negara di dunia daripada membeli minyak Iran.


4. Perancangan dibuat untuk menukar kerajaan Syria menggunakan berbagai-bagai sekatan kewangan dan dagangan, serta membantu pemberontakan melawan Kerajaan Syria. Usaha ini sedang diteruskan. 5. Di negara-negara Arab apabila ada pemberontakan untuk menjatuhkan kerajaan, Amerika dan Eropah memberi bantuan wang dan senjata, bahkan melancarkan serangan bersenjata untuk menjatuhkan kerajaan yang tidak disukai oleh mereka.
6. Di Chile dahulu, Presiden Allende yang dipilih oleh rakyat melalui proses demokrasi, dibunuh oleh agen-agen Amerika supaya Jeneral Pinochet yang disokong oleh Amerika dapat menjadi Presiden. Amerika lebih suka seorang diktator yang ganas daripada pemimpin yang demokratik jika ianya tidak sokong Amerika.
7. Dimana-mana sahaja Amerika dan Eropah memberi bantuan mengguna media mereka untuk memburuk kerajaan tertentu supaya rakyat digerak untuk mengguling kerajaan yang tidak berbaik dengan Amerika dan Eropah.
8. Di Indonesia sokongan diberi kepada tenteranya untuk menjatuhkan Sukarno. Kemudian pelbagai jenis tekanan diguna untuk menjatuhkan Presiden Suharto.
9. Dimana sahaja kita lihat Amerika bersama Eropah dan Israel, tidak berhenti-henti mencuba menjayakan “regime change” supaya dapat mereka kuasai semua negara di dunia.
10. Apakah Malaysia tidak menjadi sasaran untuk “regime change”? Memang pun Malaysia menjadi calon untuk “regime change” kerana Malaysia tidak mengiktiraf Israel dan mengkritik beberapa dasar Amerika Syarikat.
11. Calon Amerika dan Israel untuk mendiri kerajaan boneka ialah Anwar Ibrahim. Sejak awal lagi mereka menjalin hubungan yang rapat dengan Anwar.
12. Anwar pula ternampak jelas menganggap sokongan Amerika boleh menjayakan cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia. Oleh itu Anwar memberi gambaran bahawa ia adalah seorang liberal yang terima dan sokong konsep-konsep kebaratan seperti hak asasi manusia, kebebasan dalam serba-serbi, sikap anti-kroni dan rasuah kononnya, penolakan DEB yang dikatakan menindas kaum tertentu di Malaysia dan bermacam lagi yang boleh mendapat pujian dan sokongan oleh Amerika. Ia cukup berjaya kerana Amerika anggap Anwar amat layak untuk melaksanakan “regime change” di Malaysia.
13. Pelobi yang amat berkesan di Amerika ialah orang Yahudi. Ramai dari kawan-kawan Anwar di Amerika seperti Paul Wolfowitz, Cohen dan lain-lain adalah dari kumpulan neo-con yang mencipta dasar penaklukan dunia oleh Amerika (Project for the new American Century).
14. Demikian apabila Anwar dihadapkan di mahkamah kerana tuduhan liwat, mereka mengecam Malaysia kerana kononnya menghalang cita-cita Anwar untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia. Sudah tentu jika Anwar tidak dapat menjadi Perdana Menteri maka gagallah rancangan “regime change” Amerika.
15. Tidak hairanlah kenyataan Anwar bahawa ia menyokong segala tindakan untuk keselamatan bagi Israel. Sudah tentu ini akan menarik sokongan Amerika dan media mereka. Orang Palestine tidak boleh menolong Anwar.
16. Melihat sokongan Amerika kepadanya Anwar Ibrahim adalah calon Amerika untuk melakukan “regime change” di Malaysia dengan menjadi Perdana Menteri Malaysia. Kerajaan yang ada sekarang tidak disenangi oleh Amerika kerana bersikap berkecuali, berbaik-baik dengan Cina dan Russia dan tidak menyokong sentimen Amerika terhadap Iran dan beberapa negara lain.
17. Adalah menjadi harapan Amerika, apabila “regime change” berjaya di Malaysia dan Anwar menjadi Perdana Menteri maka mungkin Malaysia akan ada hubungan diplomatik dengan Israel dan menjauhkan diri dari perjuangan Palestine. Dengan ini sebuah kerajaan boneka akan tertubuh di Malaysia yang akan sokong apa sahaja usaha Amerika untuk menakluk dunia.

 sumber: chedet.com

Friday, July 8, 2011

Aku anti-DEMONSTRASI, AN-WAR dan BERSIH

anwar dengan perhimpunan jalanan ini tidak dapat dipisahkan.


macam-macam diaorang boleh cakap, tidak bersangkut paut dengan politik la, tiada unsur jahat la.
hakikatnya mereka ni ada agenda lain supaya dapat memerintah malaysia.


kita sebagai rakyat jangan jadi tertipu dengan hasutan-hasutan puak-puak mereka yang terdiri dari 3 kelompok iaitu PAS,DAP,PKR.


anwar ni dia cakap pandai, karisma dia lebih kearah percakapan, semangat, hasutan. tapi penuh dengan unsur-unsur dendam.

please lah, jangan menghuru-harakan Malaysia nih.
demonstrasi jalanan ni bagi aku macam orang yang takde tamadun, terpekik-lolong.
orang luar tengok pun rasa jelik, rasa nak datang malaysia dah tak selamat dah.

dan yang paling teruk, aku rasa bila time mengerahkan rakyat.
ramai yang akan datang dari ceruk2 kampung untuk join perhimpunan nih.
DAN LEPAS TUH, APA YANG RAKYAT AKAN DAPAT?

sure ke diaorang akan bagi korang peluang hidup yang lebih cerah?
*POLITIK TETAP POLITIK*
menjanjikan bulan dan bintang adalah sekadar janji.

bersyukurlah dengan apa yang sedia ada.
negara dah aman makmur dah, mana boleh nak samakan dengan negara-negara asia Barat.

Thursday, January 20, 2011

ANUGERAH SETAN

cerpen yang menarik untuk dibaca..dan di kaji...

DIPETIK DARI MINGGUAN MALAYSIA 16 JANUARI 2011

tulisan asal; FUDZAIL 

 

 

Anugerah Setan 


NEW YORK:
Salji terus lebat turun memenuhi pandangan. Musim dingin yang semakin menjadi honar dengan cuaca yang semakin tidak menentu. Dunia semakin kelam kabut oleh cuaca, seperti fikirannya yang kembali berserabut sebaik berita dari laporan WikiLeaks memenuhi setiap ruang dan dimensi pemikiran. Tidak putih seperti salji, tetapi keruh dan dipenuhi lendir busuk membusukkan.
Hasan merenung jauh walau mata tetap mengerling ke skrin iPad. Telefon bimbit juga tidak henti dengan deringan dan SMS. Komen-komen dari kawan-kawan Facebook dan Twitter semakin memutarkan segala yang menyakiti jiwa. Pertanyaan, komen, ulasan dan kata-kata menghentam bersilih ganti.
Dia seakan mahu melontar semua gajet yang seolah-olah menerkam, mengejek dan menyindir perasaan dalamannya jauh ke dalam salji yang turun semakin lebat. Biar segalanya menjadi himpunan masa lalu yang tidak pernah wujud dalam kehidupannya. Masa lalu yang masih menjadi trauma dan mimpi ngeri kepada seorang anak yang terpaksa melarikan diri jauh dari tanah air.
Bukan kerana dia anak lelaki tunggal kepada seorang pemimpin yang pernah hampir berada di takhta kemuncak kekuasaan. Bukan kerana ayahnya pernah merengkok dalam penjara sebelum dibebaskan kerana dikatakan tidak cukup prima facie. Bukan kerana ayahnya hero buat ramai mereka yang pernah keluar memprotes di jalan-jalan raya. Bukan kerana ayahnya dianggap oleh ibunya sebagai anugerah tuhan kepada manusia sejagat.
"Setan!'
Jeritan batin seorang anak yang sudah melampaui had rasional dan kesabaran. Setelah bertahun mahu melupakan segalanya, melupakan yang dia adalah anak seorang lelaki dua alam, manusia Dr Jekyll dan Mr Hyde, musang berbulu ayam yang dalam wajah Islamiknya adalah seekor jembalang, tiba-tiba laporan WikiLeaks bagai menoreh kembali parut-parut luka di hati.
"Menurut dalam laporan kabel Jabatan Negara Amerika Syarikat itu, pegawai-pegawai perisikan pulau itu memberitahu rakan sejawatan mereka dari negara jiran bahawa, pemimpin itu memang terlibat dalam aktiviti luar tabii sebagaimana pertuduhan yang dikenakan ke atasnya sekarang!"
Hasan menutup wajahnya, kemudian merenung potret isteri dan anak lelaki sulungnya di meja pejabat. Airmatanya kembali menitis. Dalam kubikal pejabat, terasa sebuah gua yang menutup setiap ruang di dunia realiti, dunia yang seakan terus mengejek dan menghina. Dunia yang menerkam dan mengunyah setiap inci dagingnya, daging isteri dan daging anak kesayangannya. Nasib baik kawan-kawan sekerja tidak tahu siapa ayahnya.
Deringan telefon bimbit sekali lagi mengejutkan. Wajahnya isterinya terpampang di skrin.
"Kenapa setan itu tidak mati sahaja? Atau terus dipenjara?"
Suara Hasan menggigil disebalik rayuan isteri agar bertenang. Dia menjadi anak kecil yang telah diragut kenangan manis oleh rentetan peristiwa dan pergolakan. Hanya kerana mimpi seorang lelaki yang dipanggil ayah untuk berkuasa dengan apa cara sekalipun, hatta menjadi proksi kepada Yahudi dan mereka yang mempergunakan kelemahan peribadinya.
Hasan mengulang kata-kata dari memori yang seakan ikon-ikon di skrin komputer yang boleh diklik untuk membawa ke ruang pelbagai dimensi. Ruang memanjang dengan segala yang gagal untuk dikikis walau dia telah lama membuang dirinya jauh di perantauan. Tidak mahu kembali selagi ayahnya masih dijulang sebagai pemimpin buat ramai yang telah terpedaya dan termakan oleh perjuangan Islamnya dari zaman mahasiswa. Dengan lenggok berpidato yang mengkagumkan. Dengan menyebut ayat-ayat Quran dan hadis-hadis seperti para ulama. Dengan menonjolkan watak-watak pejuang suci yang membela rakyat marhaen, walau sewaktu berkuasa sama-sama mengkayakan diri dan kroni atas nama ketuanan bangsa.
"Kakak Nurin bagaimana dengan fakta terkini ini?"
Pertanyaan isterinya itu sekali lagi melontar kekalutan dalam jiwanya. Dia dan Nurin sering sahaja bertengkar kerana Nurin tidak pernah percaya segala fakta yang diberikan terhadap perilaku dan salah laku ayah mereka. Nurin sebagai anak sulung percaya ayahnya seorang pemimpin besar yang maksum dan segala itu adalah fitnah semata-mata. Nurin yang menjejak langkah ayahnya sebagai ahli politik walau dia lebih sesuai menjadi seorang model kerana kecantikannya.
Tidak seperti ibunya yang terpaksa menggalas seekor biawak hidup dalam kehidupan, Nurin adalah seorang anak yang menjadikan ayahnya sebagai idola kehidupan. Apa sahaja yang diberitahu oleh ayah mereka dianggap benar belaka. Menutup telinga dari maklumat yang bercanggah walau mempunyai kebenaran.
"Kakak, satu hari kakak akan melihat yang idola kakak itu adalah seekor jembalang besar!"
Itulah kata-kata perpisahan sebelum Hasan berangkat meninggalkan semua yang dianggap Nurin sebagai perjuangan demi agama, bangsa dan negara. Perjuangan keramat untuk mengubah negara ke arah yang lebih demokrasi, telus, adil dan saksama. Walhal parti politik dengan logo berimej Freemason yang didukung oleh keluarganya tidak lebih sebuah wadah yang dua kali lima sahaja, sama sahaja stail matlamat menghalalkan cara.
JALAN MASJID INDIA:
Ketawa berderai di restoran mamak yang menghala ke tebing sungai Gombak. Komen-komen melucukan dari ulasan laporan WikiLeaks memecah suasana hambar dalam hujan yang semakin lebat. Ada sahaja cerita-cerita nostalgia berselang seli dengan komen semasa yang menambahkan kemanisan teh tarik dan roti canai banjir.
"Apa yang menyedarkan kau?" Tanya Suhada kepada Amira. Pertemuan dari temujanji di Facebook diluar dugaan kerana kebetulan Suhada berkunjung untuk membeli belah di Kuala Lumpur, cuti sekolah dan membawa anak-anak melancung jalan-jalan di tanah air sendiri. Mahu ke luar negara memang tidak mampu dalam keadaan ekonomi dunia yang masih belum menentu, lantas keluar dari kampung di negeri Terengganu sudah cukup baik.
"Aku pergi ke majlis ulang tahun reformasi baru-baru ini di Shah Alam. Mahu bertemu kawan-kawan lama yang pernah sama-sama berdemonstrasi, sama-sama kena tahan dan dihadapkan mahkamah, yalah era yang penuh dengan kebangkitan dan kesedaran terhadap apa yang berlaku dan politik anak-anak muda!"
Amira meneguk teh tarik. Wajah kacukan Melayu dan India memberikan identiti yang agak unik. Tidak seperti Suhada, Amira masih belum berkahwin dan setelah aktif dalam perjuangan tepi jalan, asyik bertukar kerja disebabkan sentiasa sahaja mengikut aktiviti parti berlogo Freemason yang sudah ditinggalkannya. Membuang kad ahli setelah membongkar proses pemilihan kepimpinan parti yang dipenuhi penipuan. Lebih-lebih lagi Amira sendiri yang dipaksa untuk mengikut strategi yang telah diatur oleh pemimpin yang selama ini asyik menghentam suruhanjaya pilihan raya, konon mengaturkan proses supaya parti tertentu terus menang. Rupa-rupanya apa yang dihentam itulah yang dipraktikkan di sebalik segala propaganda di laman web parti.
Suhada menggeleng dengan wajah teruja mahu tahu cerita sensasi Amira selanjutnya.
"Dalam keadaan yang sedikit kecoh sebab ramai mahu bersalam, dia tiba-tiba ramas punggung aku!"
Tersembur air yang dihirup Suhada. Bulat matanya sambil wajah terpinga-pinga. Seperti mendengar cerita nampak puntianak di malam Jumaat.
"Pemimpin anugerah Tuhan itu?"
"Anugerah setan!"
Mereka berdua ketawa.
"Aku ingat kau totok menyokong dia, isteri, anak dan para kroni yang menang besar dalam pemilihan parti!'
"Aku sudah tertipu Tipah!" Amira terus terkekeh. "Kau bayangkan aku pernah keluar masuk penjara, turun naik mahkamah kerana ditangkap polis. Tak serik berdemonstrasi secara haram hanya mahu memperjuangkan kebebasan dia. Mahu menjadikan dia pemimpin utama negara sebab dari pembawaannya memang dia cukup pandai berlakon, jauh lebih hebat dari pelakon Tamil.
"Apakah kau tidak dibayar seperti mana ramai pemimpin lain yang keluar atau disingkir parti sebelum ini? Ada yang dikatakan menerima jutaan ringgit kerana menghentam pemimpin anugerah setan itu dan keluar dari perjuangan parti. Berapa juta kau dapat?"
Amira terus terkekeh. Teringat menonton kembali video yang disimpannya dan terjumpa video pendedahan mengenai kelakuan luar tabii pemimpin pujaan yang sebelum itu dianggap video jahanam. Apa yang ditontonnya, pertama kali walau video lama disimpan, nasib baik tidak dibuang itu memberi kecerahan pada minda yang diselaputi buruk sangka pada pihak berkuasa.
"Dulu pun aku percaya yang mereka keluar parti itu dibayar jutaan, walhal ramai yang keluar sebab memang sudah muak, jelak dan tahu kebenaran yang selama ini tertutup oleh propaganda licik pemimpin itu dan parti. Kalau aku dibayar jutaan ke, ribuan ke, tidaklah aku jadi penjual kain di kaki lima untuk menanggung kehidupan!"
"Tidak mahu mendirikan rumahtanggakah?"
Amira tersenyum memandang ke arah para lelaki lembut yang sama-sama bersantai dalam hujan lebat. Kelihatan lelaki-lelaki itu mengusik sesama sendiri seolah-olah pasangan bahagia.
Suhada sama memerhati satu fenomena yang semakin menjadi biasa, apalagi sudah ramai yang muncul di youtube mengaku 'Saya gay dan saya okay."
Suhada merasa bertuah kerana suaminya, lelaki jati yang sama membenci kemunculan semula kaum Nabi Lut itu terus memberikan peluang mereka berdua bersantai dengan membawa anak-anak ke sebuah pawagam, menonton filem Melayu bercorak seram komedi yang sedang hangat.
Dua rakan sekolah yang berpisah oleh kehidupan memang akrab dan kembali akrab melalui Facebook, jaringan sosial milik pemuda Yahudi yang sudah bertaraf billionair.
"Menantikan lelaki bertuah anugerah Tuhan, bukan anugerah setan dan bukan lelaki-lelaki lembut yang semakin ramai itu!"
Jawab Amira bersama hujan lebat dengan kilat sabung menyabung menjadikan sembang petang semakin rancak.
NEWCASTLE:
Tok Guru duduk bersila sambil menonton siaran berita stesen TV antarabangsa di sebuah hotel. Satu-satunya stesen TV yang ditontonnya kerana berpengkalan di Doha. Tok Guru telah lama menganggap media lain semuanya boneka di sebalik agenda pemerintah atau Yahudi. Semuanya dipenuhi propaganda, berita separuh benar, maklumat palsu dan kabur untuk mengelirukan umat Islam.
"Kalau WikiLeaks boleh cerita pasal dia, apalagi maklumat sulit dari perisikan negara pulau yang hebat dan rakan sekutu Yahudi itu, rasanya adalah kebenarannya!"
Sepatah kata-kata Tok Guru yang sedang bercuti jauh setelah selesai menunaikan fardu haji untuk sekian kali. Mulanya sebagai alasan tidak mahu sertai konvensyen barisan parti-parti yang turut didukung oleh partinya sendiri. Tidak mahu kelihatan bersama pemimpin yang disebut dalam WikiLeaks setelah bertahun-tahun percaya bulat-bulat.
Keraguan timbul sebaik pendedahan WikiLeaks yang dianggap Tok Guru sebagai pembocor maklumat paling sahih dalam dunia yang dipenuhi agenda dan konspirasi Yahudi. Tok Guru yang selama ini mendengar nasihat dari seorang bekas setiausaha politiknya bernama Husien mula melihat diluar tempurung persepsinya. Tok Guru mula meragui Husein yang memberikan pelbagai maklumat untuk merangka strategi politik sehingga dia anggap pemimpin parti berlogo Freemason itu mesti dipertahankan, walau ramai dikalangan pemimpin partinya sendiri memang tidak sehaluan. Parti hampir berpecah kerana ada yang melabel diri sebagai puak Ataturk itu kelihatan taksub sekali dengan pemimpin yang pernah sensasi itu.
"Saya tengok wajah dia pun semakin buruk, berserabut dan kusut masai macam orang jahat!"
Sekali lagi Tok Guru membuat ulasan sendiri menatap potret yang terpampang di skrin TV. Tok Guru memandang Hasan yang terbang dari New York untuk bersemuka dengan lelaki yang memang menjadi idolanya. Hasan mahu Tok Guru mendengar sendiri dari mulutnya, dari seorang anak yang lama menderita emosi dan psikologi. Kesempatan terbuka yang dinantikan akhirnya bagai pucuk dicita, ulam yang datang.
Rupa-rupanya, Tok Guru sama sahaja tarafnya dengan ramai mereka yang sudah terpedaya. Kasyaf dan bacaan hati Tok Guru tidak dapat menembusi tembok jahanam yang kelihatan cahaya, sekadar fatamorgana, montaj satu ilusi perjuangan yang penuh dengan batu-batu jalan ke neraka.
Mesej dari anak Tok Guru melalui Facebook adalah kemuncak satu penantian untuk membetulkan satu keadaan yang semakin kalut dengan kemelut yang berterusan. Mesej yang menjadikan salji dan penangguhan banyak penerbangan bukan halangan untuk satu sejarah, kalau tidak sejarah dunia, sejarah dalam hidupnya yang dipenuhi tragedi dan peristiwa hitam.
Segalanya kerana seorang lelaki yang dipanggil ayah, lelaki yang seperti ungkapan Tok Guru, muncul sebagai jembalang. Dr Jekyll itulah juga Mr Hyde. Musang yang bogel apabila bulu-bulu ayam dicarik oleh WikiLeaks.
Hasan bersedia untuk meluahkan semuanya, segala yang tersimpan sejak dia dapat mengingat apa yang telah terjadi dari usia kanak-kanak. Dari mindanya mula dapat memproses rentetan kejadian ganjil, kelakuan luar tabii yang terus membayangi saujana ruang kedewasaannya.
Tiba-tiba airmata lebat membasihi pipi Hasan, dia tidak sanggup meluahkan segala yang tersimpan. Terlalu keji, hina, jelik dan kotor untuk diluahkan di depan Tok Guru. Hasan terasa dirinya yang bersalah. Yang berdosa.
Tok Guru datang memeluk. Erat dengan penuh kasih sayang. Tok guru tersedu dan terharu melihat anak yang tidak berdosa menjadi mangsa kebuasan seorang manusia jalang yang bertopengkan agama. Lebih dari itu, wajah-wajah para marhaen yang sama-sama keluar di jalan-jalan raya, korbankan wang, masa dan tenaga untuk kebebasan seorang lelaki yang dianggap wira itu seakan memenuhi setiap pandangan. Suara-suara mengejek dan memaki mengasak ke gegendang Tok Guru yang sama merasa bahang satu kesilapan dalam percaturan dan perkiraan politik.
"Cis! Dia memang anugerah setan!"

Sunday, December 19, 2010

ANWAR IBRAHIM SI PUTAR ALAM HIPOKRIT

PAKAT DULU BALAH KEMUDIAN?

(Dinasti 3A yang mendaulatkan Ketuanan Anwar dengan memperkudakan PAS untuk memahkotakan pemimpin anugerah tuhan sebagai Perdana Menteri)

Salam 2 all.

Esok Pakatan Pembangkang akan mengadakan Konvensyen PR di Dewan Millenium, Kepala Batas, Pulau Pinang. Pemilihan venue konvensyen di negeri yang diperintah anak laki Kitsiang dalam keadaan kegawatan krisis keyakinan yang melanda PR membuktikan kedudukan dominan parti DAP didalam PR. Mengapa Kedah dan Kelantan, negeri yang diperintah oleh PAS tidak dipilih adalah jelas. Kitsiang dan Anwar tidak mahu memberi persepsi bahawa PAS adalah parti yang berpengaruh di dalam PR, kerana imej perjuangan Islam PAS akan memberi kesan negatif kepada pengundi bukan Islam yang menjadi "undi-nyawa" untuk survival Anwar & Kitsiang. Bagi mereka PAS hanya sekadar kuda tunggangan, yang hanya diguna bila diperlukan, tetapi dalam banyak hal dan isu, PAS langsung tidak dirujuk, apatah lagi ditanya pendapat.

Kita tengok sendiri isu perlantikan Kitsiang sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Anwar orang yang ditabal oleh isterinya sebagai pemimpin anugerah tuhan ini. PAS langsung tidak tahu menahu, jangan kata dirujuk, tanya pun tak. Itu sebab Ketua Dewan Ulama' PAS YB Datuk Harun Taib mengherdik Anwar kerana mengumumkan perlantikan Kitsiang tanpa berbincang dengan PAS. Malah didalam mesyuarat kepimpinan PR baru-baru ini, wakil PAS telah menegur Anwar mengenai perlantikan ini, dan saperti biasa Anwar pusing-sana pusing-sini, putar-sana putar sini, tapi tak jawab soalan pun.

Teman mendapat maklumat arahan telah dikeluarkan supaya dalam Konvensyen PR esok, isu berkenaan perlantikan Kitsiang sebagai TPM dan isu penubuhan negara Islam dan perlaksanaan undang-undang Islam jika PR memerintah tidak dibangkitkan. Dan yang paling malang ada pak jangoat yang bersetuju kerana mendakwa PAS telah menandatangani Perjanjian Persefahaman PR 18.12.2009 bahawa penubuhan negara Islam dan perlaksanaan undang-undang Islam tidak termasuk didalam perjanjian tersebut, dan PAS sebagai parti Islam terikat dengan perjanjian itu dan tidak boleh memungkirinya. Kepimpinan ulama' dan ahli akar umbi PAS diperdaya oleh segelintir kalangan pak jangoat sendiri untuk merestui dan menandatangani Perjanjian Syaitan ini!

Teman mendapat maklumat ramai kepimpinan dan para ulama' PAS sudah mula bosan dengan tindak tanduk dan kelentong Anwar & Kitsiang dan kaum pak jangoat yang memperkudakan PAS untuk kepentingan sempit mereka. Ini ditambah dengan pendedahan WikiLeaks berkenaan ujudnya "bukti teknikal" oleh Bahagian Risikan Singapura & Australia mengenai kegiatan homoseks & liwat Anwar. Malah ada kepimpinan dan ulama' PAS yang sudah mula ragu; mereka kata takkan Singapura & Australia serta perkhidmatan rahsia Amerika pun hendak berbohong kerana Anwar sendiri mengiystiharkan kepada mereka dan kepada dunia bahawa Singapura, Australia & Amerika menyokong beliau. Siap cerita bagaimana dia telefon Hillary Clinton lagi semasa Hillary melawat Malaysia baru-baru ini.

Sebab itu teman tidak terkejut apabila beberapa kepimpinan kanan dan ulama' PAS tidak hadir semasa Dewan Rakyat bersidang untuk menggantung Anwar & konco-konconya Khamis lepas. Yang hadir kebanyakannya pun adalah dikalangan penyembah pemimpin anugerah tuhan ini sahaja. Dan teman diberitahu beberapa kepimpinan dan ulama' kanan PAS tidak akan hadir dalam Konvensyen PR yang dijadualkan esok. Pokok pangkalnya, teman sudah dapat merasakan bahawa kepimpinan, para ulama' dan ahli akar umbi PAS sudah mula meragui agenda sebenar Anwar & Kitsiang; dan merasakan PAS hanya diperkudakan untuk kepentingan mereka sempit mereka.

Sebab itu teman menyeru dan mencadangkan kepada sahabat-sahabat PAS yang ada supaya memboikot Konvensyen PR di negeri pemerintahan DAP itu besok. Sedarlah Konvensyen itu hanya akan diperalatkan oleh Anwar & Kitsiang untuk agenda sempit mereka sendiri. Anwar akan menceritakan bagaimana Kerajaan begitu terdesak sehingga menggantung dia & konco-konconya kerana Kerajaan takut dengan isu APCO (yang jelas satu pembohongan saperti yang teman buktikan dalam penulisan bertajuk "Pembohongan APCO").

Anwar akan memutarbelitkan isu WikiLeaks kononnya isu "bukti teknikal" yang dipunyai oleh Bahagian Risikan Singapura & Australia mengenai kegiatan homoseks & liwat beliau sengaja dibesar-besarkan oleh "akhbar UMNO & BN" kerana mahu menutup pendedahah WikiLeaks mengenai kes Altantuya, walaupun sebenarnya WikiLeaks menyebut pembangkang terus-menerus memainkan isu Altantuya untuk menganggu YAB Perdana Menteri. WikiLeaks langusung tidak sebut mereka percaya dengan dakwaan kes Altantuya itu, sebaliknya menyatakan YAB selalu diganggu dan dihantui oleh pembangkang dengan isu rekaan mereka itu. Jangan lupa ada pemimpin PKR sendiri mengaku mencipta gambar yang di 'super-impose' kononnya Altantuya duduk makan dengan YAB PM!

Apa yang jelas sehingga kini Anwar masih tidak berani menafikan pendedahan WikiLeaks itu. Kenapa tidak saman WikiLeaks kerana pendedahan tersebut.?Kenapa tidak saman Kerajaan Australia, atau Kerajaan Singapura atas pendedahan itu? Kenapa tidak desak dan tuntut Kerajaan Singapura & Australia mendedahkan "bukti teknikal" yang mereka ada itu? Adakah Anwar takut kerana mereka tahu apa yang Anwar tahu? Apa pun sehingga kini Anwar masih enggan bersumpah muhabbalah menafikan tuduhan Saiful saperti yang dinasihatkan oleh mantan Mufti Perlis Dr. Asri Zainul Abidin, sedangkan Saiful bukan sahaja sudah bersumpah, malah sudah sampai kehadapan Baitullah menadah tangan memohon kepada ALLAH. Kenapalah para pak jangoat tidak boleh melihat ini semua dengan hati dan jiwa yang bersih dan tawaddhu' hanya kepada ALLAH? Sudah pasti kelak nanti mereka akan dapat melihat kebenaran ALLAH itu!

Apapun, teman ingin mencadangkan kepada sahabat PAS yang terpaksa juga pergi menghadiri Konvensyen PR esok supaya membangkitkan isu-isu berikut, once and for all, tiada dolak dalik lagi. Get the truth! Antaranya teman cadangkan saperti berikut:

1. Dapatkan pengesahan dan komitmen terbuka Anwar & Kitsiang bahawa jika PR memerintah Kitsiang tidak akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (kecuali dia masuk Islam sebagaimana syarat yang dikenakan oleh Tok Guru Nik Aziz). Jangan biarkan Anwar & Kitsiang berdolak-dalik dan memutar kata perlantikan itu bukan menjadi isu kerana yang penting menang dulu, fokus kepada pilihanraya dan lain-lain. Itu semua temberang dan kelentong Anwar sahaja. Pastikan Anwar & Kitsiang secara terbuka diatas pentas memberi komitmen dan pengesahan itu. Jangan nanti bila dah berlaku baru tersedar kita dah kena kencing dengan Anwar & Kitsiang!

2. Dapatkan pengesahan secara terbuka daripada Anwar dan Kitsiang samada benar Perjanjian Persefahaman Pakatan bertarikh 18.12.2009 mempersetujui bahawa agenda penubuhan negara Islam dan perlaksanaan undang-undang Islam tidak termasuk didalam dasar Pakatan Rakyat jika memenangi pilihanraya dan memerintah. Jangan termakan kelentong Anwar nanti bahawa Perjanjian itu hanya untuk merumus persetujuan bersama kesemua parti, tetapi masing-masing dibenarkan terus dengan agenda perjuangan masing-masing, DAP dengan Malaysian-Malaysianya, PAS dengan Negara Islamnya, dan PKR dengan cita-cita nak menabal pemimpin anugerah tuhannya sebagai Perdana Menteri. Itu semua putarbelit sahaja untuk menutup isu. Yang jelas dan muktamadnya Anwar & Kitsiang (termasuk beberapa orang pak jangoat) telah secara terbuka menyatakan bahawa agenda penubuhan Negara Islam dan perlaksanaan undang-undang Islam tidak termasuk didalam dasar Pakatan pembangkang jika memerintah;

3. Dapatkan pengesahan secara terbuka & komitmen jelas Anwar dan Kitsiang bahawa dinegeri-negeri yang PAS perintah (saperti Kedah & Kelantan) undang-undang Islam akan dibenarkan dilaksanakan. Kerajaan negeri PAS akan dibenarkan mengharamkan arak, judi dan lain-lain. Ingat apa yang berlaku di Selangor apabila PAS Negeri Selangor hendak mengharamkan arak dijual secara terbuka, DAP telah membantah menyatakan ianya tidak termasuk dalam persefahaman pembangkang yang telah dipersetujui. Akhirnya PAS Negeri Selangor terpaksa mengalah dan arak dan kilangnya masih tertegak dibumi Selangor sampai hari ini, sedangkan dulu kita rembok meja mengisytiharkan "malam ni menang pilihanraya, esok kilang dan kedai arak semua tutup!!". Jangan ulangi sejarah hitam Selangor, dimana akhirnya PAS Negeri Selangor yang dimalukan oleh DAP dengan kerjasama rakan sekutunya PKR;

4. Dapatkan pengesahan dan komitmen Anwar bahawa kes dia meliwat Saiful Bukhori Azlan akan dipercepatkan. Jangan ditangguh-tangguh lagi. Kalau dia benar, maka apa yang perlu ditakutkan. Hadis Melayu sebut , "berani kerana benar, takut kerana salah". Kenapa asyik main tangguh aje. Jalankan kes itu segera supaya tidak menganggu persediaan PAS untuk menghadapi pilihanraya nanti;

5. Juga dapatkan pengesahan terbuka dan komitmen jelas daripada Karpal Singh, adakah dia benar-benar percayakan Anwar tidak bersalah? Sebab dialah orangnya didalam Parlimen tiga belas tahun lepas pada 22.10.1997 mendedahkan punya bukti dokumen Anwar meliwat pemandunya (Azizan) dan mendesak Kerajaan supaya menyiasat Anwar segera. Karpal juga orangnya yang mendedahkan dalam satu ucapan di Federal Hotel Kuala Lumpur bahawa dia punya bukti Anwar telah meliwat pemandunya (Azizan). Karpal jugalah orangnya yang bertemu dengan Umi Hafilda dan Azizan (mangsa liwat Anwar dahulu) dan menjadi peguam mereka. Karpal jugalah orang yang mendesak Anwar bertaubat dan meletak jawatan apabila pembohongan 16 Sept 2008 terbongkar. Jadi dapatkan penjelasan secara terbuka daripada Karpal apa agenda beliau sebenarnya, tambahan dengan pengangguhan kes Anwar yang berulang-ulang sehingga dah nak masuk tiga tahun. Adakah ini taktik untuk meletakkan Anwar didalam genggaman DAP, sentiasa tunduk kepada kehendak DAP, kata orang Perak "selagi dapat picit teloq Anwar, selagi itu dia akan ikut rentak DAP!". Jadi sebenarnya pengangguhan berpanjangan dan berulang-ulang kes Anwar menguntungkan DAP, bukannya PAS. Kerana PAS sebagai parti Islam sudah tentu tidak mahu ada diantara pemimpin mereka terpalit dengan pertuduhan jijik saperti itu.

6. Dapatkan pengesahan dan penjelasan jelas daripada Datuk Seri Wan Azizah, Presiden hiasan PKR apa rasional dan alasan dia mengiystiharkan dan menabalkan laki dia sendiri sebagai "pemimpin anugerah tuhan". Apa kriteria perisytiharan itu? Apa kelebihan Anwar berbanding Tok Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Haji Hadi untuk Anwar mengatasi ulama'-ulama' hebat ini sebagai pemimpin anugerah tuhan. Apa maksud pemimpin anugerah tuhan itu? Adakah ia bermaksud Anwar maksum dari sebarang kesalahan, termasuk boleh kelentong dan temberang isu 16 Sept, yang sampai hari ini Anwar tidak pernah memberikan penjelasan kepada kepimpinan PAS, apatah lagi meminta maaf? Atau apakah keputusan Anwar (saperti melantik Kitsiang sebagai TPM) adalah wahyu yang tidak boleh dipersoal atau dipertikai?

Sebenarnya banyak lagi isu dan perkara yang boleh dikemukakan oleh sahabat-sahabat daripada PAS. Tetapi apa yang teman nyatakan diatas, jika dijawab oleh Anwar, Azizah, Kitsiang, Karpal Singh secara jujur dan terbuka sudah cukup untuk membuka mata PAS tentang wayang kulit mainan Anwar pemimpin yang ditabal oleh bini dia sendiri sebagai anugerah tuhan. Dan teman cukup yakin jika itu berlaku, pembohongan, kelentong dan cakap tak serupa bikin mereka akan terbongkar. Tetapi percayalah ianya tidak akan berlaku. Mereka akan cari jalan supaya isu-isu ini tidak dibahas dan dibangkitkan. Namun teman berharap sangat sahabat-sahabat daripada PAS, terutamanya para ulama', Dewan Pemuda, para ustadz dan lain-lain akan diberi anugerah oleh ALLAH untuk berani mengemukakan persoalan-persoalan diatas, walaupun jelas Anwar, Kitsiang dan segelintir pak jangoat mahu menutup isu-isu ini. Janganlah kita menjadi saperti kata hadis Melayu, "menang sorak kampung tergadai!". Kita menang pilihanraya dan jadi kerajaan, tetapi tergadai barakah dan rahmat ALLAH dan disumbat ke nerakaNya, na'uzubillah. Jangan sampai saperti kata seorang pak jangoat, "kita pakat dulu tumbangkan UMNO, kita balah pasal negara Islam kemudian". Kerana pada masa itu, menang jadi abu, kalah jadi arang.

Teman nak tutup pesan ini dengan satu kisah benar, supaya sahabat-sahabat PAS tahu betapa liciknya Anwar dengan kelentong, temberang dan putarbelitnya.

Kisah ini berlaku melibatkan Almarhum Tun Ghafar. sebelum pemergian Almarhum. Anwar pada masa itu hendak meyakinkan kami termasuk teman bahawa UMNO menyokong dia, dan mahu bersama dengan dia. Dan untuk meyakinkan kami termasuk teman, Anwar memberitahu kami Almarhum Tun Ghafar beriya-iya meminta mahu berjumpa dengan Anwar secara rahsia dirumah, untuk meminta maaf dan untuk menyatakan sokongan kepada Anwar. Anwar kata walaupun dia marah dengan Almarhum Tun Ghafar, tetapi demi kesatuan Melayu dia sanggup membuang segala kesalahan Almarhum Tun Ghafar dan berjumpa dengan Tun. Kami semua agak terkejut kerana tidak terfikir ianya akan berlaku. Tetapi apabila mendapat maklumat sah bahawa memang akan ada perjumapaan diantara Anwar dengan Almarhum Tun Ghafar dirumahnya di Bukit Pantai (tak silap teman selepas raya puasa, mungkin raya ketujuh), kami termasuk teman termakan cerita Anwar.

Wamakaru wamakarallah, wallah hukhoirul maakiriin - pembohong merancang dan ALLAH merancang, dan rancangan ALLAH mengatasi segalanya.

Nak jadi cerita, ada seorang diantara kami terserempak dengan Sdr. Zahid Mat Arip, bekas Naib Ketua Pemuda AMK dan cucu Almarhum Tun Ghafar disebuah pasaraya. Maka kawan kami ni pun bersalam dan mengucapkan tahniah kepada Zahid kerana Almarhum Tun Ghafar sudah bertaubat dan mahu berjumpa dengan Anwar dan meminta ma'af kepada Anwar atas kesilapan yang berlaku dan akan menyokong Anwar. Siap nak berjumpa secara rahsia dirumah Tun di Bukit Pantai.

Merah padam dan menyinga marah lah Zahid. "Cilaka punya Anwar, bapak pembohong betul haramjadah ni!!". Siapa yang kenal Zahid tahulah mulut lazer dia. Zahid pun berceritalah kepada kawan kami ni apa sebenarnya berlaku. "Anwar yang mintak sangat nak jumpa Pak Ghafar bulan puasa ni. Katanya nak mintak maaf sebab kesalahan dia mengkhianati Pak Ghafar tahun 1993 dulu". Zahid memulakan cerita. "Jadi Anwar mintak sangat aku aturkan, dan dia sanggup kerumah Pak Ghafar di Bukit Pantai", tambah Zahid. "Jadi akupun jumpalah Pak Gahafar dan bagitahu Anwar nak jumpa ni, nak minta maaf pasal khianat tahun 1993 dulu. Atok ok ke?" tanya Zahid kepada Pak Ghafar. "Boleh percaya ke tu Zahid, Anwar ni banyak autanya, aku bukan tak tahu" sinis Pak Ghafar kepada Zahid. "Tapi kali ni dia betul-betul Atok, bersungguh dia minta, dia sanggup datang rumah Bukit Pantai ni jumpa Atok secara rahsia pun takpe, sebab dia tak mahu PM pandang serong kat Atok nanti (masa tu Pak Lah PM)".

Pak Ghafar pun sebagai orang tua yang sayangkan cucu, bersetuju. "Macam tu jumpa lepas raya ajelah, bulan puasa orang ramai kat rumah. Lepas raya pun biar lambatkan sikit, sebab awal-awal raya anak cucu semua datang. Buat raya ketujuh aje, orang pun dah takde". Begitu pandangan jujur Almarhum Tun Ghafar. Maka Zahid pun terus dengan gembira memaklumkan kepada Anwar persetujuan Pak Ghafar itu. Anwar punya gembira kata Zahid, sampai kata "tolong rahsiakan jangan sampai UMNO tahu, kita kena jaga Pak Ghafar tu".

Kawan yang mendengar pendedahan itu melopong mendengarnya dan menyampuk, "tapi Zahid, itu bukan apa yang Anwar bagitahu kami. Dia kata Pak Ghafar yang nak jumpa untuk mintak maaf, dan dia bersedia walaupun dia sebenarnya malas nak layan Pak Ghafar" dedah kawan kami yang mendengar cerita Anwar itu. Menyingalah Zahid, lalu dia suruh kawan tu telefon Anwar masa tu juga dan bila dapat cakap "kepala ... you lah Anwar, you suruh I atur you nak jumpa Pak Ghafar untuk mintak maaf, sekarang you cerita lain pada orang yang Pak Ghafar yang nak jumpa jumpa you dan nak mintak maaf serta menyokong you. Pigi jahanamlah you Anwar. You ni memang political animal lah, haiwan politik!!". Maki Zahid kepada Anwar lalu menghempas telefon.

Zahid terus menghubungi Almarhum Tun Ghafar dan menceritakan apa yang berlaku. Dan Tun Ghafar jawab, "dah agak dah tu, Anwar ni memang kaki kelentong". Dan kawan kita yang berjumpa Zahid tu menceritakan bagaimana dia dimaki oleh Anwar kerana menceritakan hal itu kepada Zahid. Dan kawan itu, seorang pemimpin kanan PKR hari ni dah pun keluar daripada PKR kerana menyedari kelentong dan putar belit Anwar. Siapa kawan itu, biarlah ia menjadi rahsia kami. Tapi Anwar tahu siapa yang dimaksudkan. Semoga ALLAH mencucuri rahmat kepada Almarhum Tun Ghafar.

Begitulah secebis kisah bagaimana mainan politik putar belit dan kelentong Anwar. Itu belum teman cerita macam mana Anwar kelentong Khairy Jamaludin sampai menantu Pak Lah tu datang kerumah Anwar dimalam selepas pembebasan dari penjara Sg. Buloh untuk menyerahkan paspot kepada Anwar, dan bagaiaman Anwar gunakan kedatangan Khairy itu sampai hari ni Khairy letih nak kena jawab. Kalau ada masa lain kali kita cerita pulak yop.

Apahal pun, teman berharap sangat supaya sahabat-sahabat didalam PAS, daripada kepimpinan parti, para ulama', ustadz dan da'i serta ahli akar umbi supaya janganlah terpedaya dengan mainan politik jijik, kotor dan penuh dengan kelicikan dan tipudaya ini. Kalau boleh boikot sahaja Konvensyen esok. Tapi kalau terpaksa pergi juga, jangan lupa dapatkan pengesahan, penjelasan dan komitmen terbuka Anwar, Kitsiang, Karpal Singh dan Wan Azizah tentang isu-isu yang teman kemukakan diatas.

Semoga ALLAH memelihara aqidah dan tauhid kita, dan menganugerahkan istiqomah kepada kita dalam perjuangan yang semakin mencabar ini. Segala yang baik datangnya daripada ALLAH, yang tidak itu kelemahan teman sendiri.

Wallahua'lam & Wassalam.

Adios amigos, grasias senor.

Zulkifli Bin Noordin
Sabtu
12 Muharram 1432
18 Disember 2010

Monday, November 15, 2010

Daud vs Gergasi Jalut

ZAID Ibrahim mempunyai karakter seorang ahli politik yang sebenar. Beliau memiliki tenaga, stamina dan keupayaan mental untuk bertahan daripada asakan, kekecewaan dan kegagalan.
Apabila Zaid yang menarik diri daripada pemilihan Timbalan Presiden PKR Isnin lalu mendesak Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim dan calon Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mengundurkan diri daripada parti itu bagi menyelamatkan PKR yang dilanda penyelewengan politik, beliau melakukannya dengan penuh bersemangat.
Masalah dengan Zaid ialah beliau menghentam serentak Anwar dan Azmin, dua pemimpin kanan PKR yang mempunyai hubungan yang terlalu simbiotik.
Azmin merupakan pemuja Anwar sejak muda. Anwar pula amat mempercayainya.
Ketika Anwar berusia 40 tahun pada 1987, beliau melantik Azmin yang baru berumur 23 tahun sebagai pegawai khasnya di Kementerian Pelajaran sebelum dinaikkan pangkat menjadi Setiausaha Sulit Anwar pada tahun 1989. Azmin memegang jawatan itu pada usia 25 tahun.
Waktu Anwar berada di puncak kuasa sebagai Timbalan Presiden UMNO, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan antara 1993 dan 1998, Azmin merupakan tangan kanan dan orang harapan di pejabat beliau. Azmin terlibat secara langsung dengan permainan kuasa dan intrik dalaman politik Anwar.
Azmin amat setia. Dia berada di sisi Anwar baik ketika Ketua Pembangkang itu tersungkur, dihina, dipenjara mahupun setelah kembali semula merasai sedikit kuasa.
Azmin masih muda. Dia kini baru berusia 46 tahun. Bagaimanapun, hubungan peribadi dan politiknya dengan Anwar telah pun melebihi 23 tahun. Ertinya lebih separuh daripada usia Azmin dihabiskan di koridor politik bersama Anwar, musim demi musim, dengan kesetiaan tidak berbelah bagi.
Zaid yang berani dan maverick harus sedar bahawa beliau berhadapan dengan personaliti ini dalam PKR. Beliau menentang satu gandingan yang tidak pernah terfikir dapat dirobohkan. Malah ada orang percaya tidak mungkin Zaid dapat meruntuhkannya.
Episod Zaid menentang Anwar dan Azmin dalam PKR umpama mengembalikan kisah mustahil pertembungan David lawan Goliath, atau dalam bahasa Melayunya Daud lawan Gergasi Jalut, sebuah kisah politik dan agama dari Asia Barat. Telah lebih 2,000 tahun kisah itu menjadi inspirasi kepada mana-mana ahli politik underdog. Ia juga mungkin memberi ilham kepada Zaid.
Kita tidak tahu siapa yang akan menang, siapa yang berkubur dan apakah kesan limpahan perseteruan terbaru PKR antara Zaid, Anwar dan Azmin. Namun, yang pasti, seperti juga Anwar dan Azmin, Zaid mempunyai karakter unik ahli politik, dan ia menjadikan permusuhan tersebut menyeronokkan untuk dilihat apakah bentuk penamatnya.
Zaid sukakan cabaran. Beliau meminati kuasa. Beliau bercita-cita tinggi. Beliau inginkan kemenangan.
Peguam terkenal dari Kota Bharu itu sudah pasti memerlukan keajaiban, sokongan dan bantuan kawan-kawannya dalam PKR untuk menumbangkan Anwar dan Azmin.
Selain itu, sudah pasti beliau juga memerlukan pertolongan Tuhan sebagaimana kisah Daud menentang Gergasi Jalut.
Dalam menangani krisis yang penutupnya amat mengesankan dan bakal membentur PKR, adalah menarik untuk dianalisis peranan Presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail yang secara kebetulan merupakan isteri Anwar.
Dapatkah Zaid meraih simpati Wan Azizah?


sama-sama kita melihatnya
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...