Showing posts with label anwar. Show all posts
Showing posts with label anwar. Show all posts

Thursday, January 20, 2011

ANUGERAH SETAN

cerpen yang menarik untuk dibaca..dan di kaji...

DIPETIK DARI MINGGUAN MALAYSIA 16 JANUARI 2011

tulisan asal; FUDZAIL 

 

 

Anugerah Setan 


NEW YORK:
Salji terus lebat turun memenuhi pandangan. Musim dingin yang semakin menjadi honar dengan cuaca yang semakin tidak menentu. Dunia semakin kelam kabut oleh cuaca, seperti fikirannya yang kembali berserabut sebaik berita dari laporan WikiLeaks memenuhi setiap ruang dan dimensi pemikiran. Tidak putih seperti salji, tetapi keruh dan dipenuhi lendir busuk membusukkan.
Hasan merenung jauh walau mata tetap mengerling ke skrin iPad. Telefon bimbit juga tidak henti dengan deringan dan SMS. Komen-komen dari kawan-kawan Facebook dan Twitter semakin memutarkan segala yang menyakiti jiwa. Pertanyaan, komen, ulasan dan kata-kata menghentam bersilih ganti.
Dia seakan mahu melontar semua gajet yang seolah-olah menerkam, mengejek dan menyindir perasaan dalamannya jauh ke dalam salji yang turun semakin lebat. Biar segalanya menjadi himpunan masa lalu yang tidak pernah wujud dalam kehidupannya. Masa lalu yang masih menjadi trauma dan mimpi ngeri kepada seorang anak yang terpaksa melarikan diri jauh dari tanah air.
Bukan kerana dia anak lelaki tunggal kepada seorang pemimpin yang pernah hampir berada di takhta kemuncak kekuasaan. Bukan kerana ayahnya pernah merengkok dalam penjara sebelum dibebaskan kerana dikatakan tidak cukup prima facie. Bukan kerana ayahnya hero buat ramai mereka yang pernah keluar memprotes di jalan-jalan raya. Bukan kerana ayahnya dianggap oleh ibunya sebagai anugerah tuhan kepada manusia sejagat.
"Setan!'
Jeritan batin seorang anak yang sudah melampaui had rasional dan kesabaran. Setelah bertahun mahu melupakan segalanya, melupakan yang dia adalah anak seorang lelaki dua alam, manusia Dr Jekyll dan Mr Hyde, musang berbulu ayam yang dalam wajah Islamiknya adalah seekor jembalang, tiba-tiba laporan WikiLeaks bagai menoreh kembali parut-parut luka di hati.
"Menurut dalam laporan kabel Jabatan Negara Amerika Syarikat itu, pegawai-pegawai perisikan pulau itu memberitahu rakan sejawatan mereka dari negara jiran bahawa, pemimpin itu memang terlibat dalam aktiviti luar tabii sebagaimana pertuduhan yang dikenakan ke atasnya sekarang!"
Hasan menutup wajahnya, kemudian merenung potret isteri dan anak lelaki sulungnya di meja pejabat. Airmatanya kembali menitis. Dalam kubikal pejabat, terasa sebuah gua yang menutup setiap ruang di dunia realiti, dunia yang seakan terus mengejek dan menghina. Dunia yang menerkam dan mengunyah setiap inci dagingnya, daging isteri dan daging anak kesayangannya. Nasib baik kawan-kawan sekerja tidak tahu siapa ayahnya.
Deringan telefon bimbit sekali lagi mengejutkan. Wajahnya isterinya terpampang di skrin.
"Kenapa setan itu tidak mati sahaja? Atau terus dipenjara?"
Suara Hasan menggigil disebalik rayuan isteri agar bertenang. Dia menjadi anak kecil yang telah diragut kenangan manis oleh rentetan peristiwa dan pergolakan. Hanya kerana mimpi seorang lelaki yang dipanggil ayah untuk berkuasa dengan apa cara sekalipun, hatta menjadi proksi kepada Yahudi dan mereka yang mempergunakan kelemahan peribadinya.
Hasan mengulang kata-kata dari memori yang seakan ikon-ikon di skrin komputer yang boleh diklik untuk membawa ke ruang pelbagai dimensi. Ruang memanjang dengan segala yang gagal untuk dikikis walau dia telah lama membuang dirinya jauh di perantauan. Tidak mahu kembali selagi ayahnya masih dijulang sebagai pemimpin buat ramai yang telah terpedaya dan termakan oleh perjuangan Islamnya dari zaman mahasiswa. Dengan lenggok berpidato yang mengkagumkan. Dengan menyebut ayat-ayat Quran dan hadis-hadis seperti para ulama. Dengan menonjolkan watak-watak pejuang suci yang membela rakyat marhaen, walau sewaktu berkuasa sama-sama mengkayakan diri dan kroni atas nama ketuanan bangsa.
"Kakak Nurin bagaimana dengan fakta terkini ini?"
Pertanyaan isterinya itu sekali lagi melontar kekalutan dalam jiwanya. Dia dan Nurin sering sahaja bertengkar kerana Nurin tidak pernah percaya segala fakta yang diberikan terhadap perilaku dan salah laku ayah mereka. Nurin sebagai anak sulung percaya ayahnya seorang pemimpin besar yang maksum dan segala itu adalah fitnah semata-mata. Nurin yang menjejak langkah ayahnya sebagai ahli politik walau dia lebih sesuai menjadi seorang model kerana kecantikannya.
Tidak seperti ibunya yang terpaksa menggalas seekor biawak hidup dalam kehidupan, Nurin adalah seorang anak yang menjadikan ayahnya sebagai idola kehidupan. Apa sahaja yang diberitahu oleh ayah mereka dianggap benar belaka. Menutup telinga dari maklumat yang bercanggah walau mempunyai kebenaran.
"Kakak, satu hari kakak akan melihat yang idola kakak itu adalah seekor jembalang besar!"
Itulah kata-kata perpisahan sebelum Hasan berangkat meninggalkan semua yang dianggap Nurin sebagai perjuangan demi agama, bangsa dan negara. Perjuangan keramat untuk mengubah negara ke arah yang lebih demokrasi, telus, adil dan saksama. Walhal parti politik dengan logo berimej Freemason yang didukung oleh keluarganya tidak lebih sebuah wadah yang dua kali lima sahaja, sama sahaja stail matlamat menghalalkan cara.
JALAN MASJID INDIA:
Ketawa berderai di restoran mamak yang menghala ke tebing sungai Gombak. Komen-komen melucukan dari ulasan laporan WikiLeaks memecah suasana hambar dalam hujan yang semakin lebat. Ada sahaja cerita-cerita nostalgia berselang seli dengan komen semasa yang menambahkan kemanisan teh tarik dan roti canai banjir.
"Apa yang menyedarkan kau?" Tanya Suhada kepada Amira. Pertemuan dari temujanji di Facebook diluar dugaan kerana kebetulan Suhada berkunjung untuk membeli belah di Kuala Lumpur, cuti sekolah dan membawa anak-anak melancung jalan-jalan di tanah air sendiri. Mahu ke luar negara memang tidak mampu dalam keadaan ekonomi dunia yang masih belum menentu, lantas keluar dari kampung di negeri Terengganu sudah cukup baik.
"Aku pergi ke majlis ulang tahun reformasi baru-baru ini di Shah Alam. Mahu bertemu kawan-kawan lama yang pernah sama-sama berdemonstrasi, sama-sama kena tahan dan dihadapkan mahkamah, yalah era yang penuh dengan kebangkitan dan kesedaran terhadap apa yang berlaku dan politik anak-anak muda!"
Amira meneguk teh tarik. Wajah kacukan Melayu dan India memberikan identiti yang agak unik. Tidak seperti Suhada, Amira masih belum berkahwin dan setelah aktif dalam perjuangan tepi jalan, asyik bertukar kerja disebabkan sentiasa sahaja mengikut aktiviti parti berlogo Freemason yang sudah ditinggalkannya. Membuang kad ahli setelah membongkar proses pemilihan kepimpinan parti yang dipenuhi penipuan. Lebih-lebih lagi Amira sendiri yang dipaksa untuk mengikut strategi yang telah diatur oleh pemimpin yang selama ini asyik menghentam suruhanjaya pilihan raya, konon mengaturkan proses supaya parti tertentu terus menang. Rupa-rupanya apa yang dihentam itulah yang dipraktikkan di sebalik segala propaganda di laman web parti.
Suhada menggeleng dengan wajah teruja mahu tahu cerita sensasi Amira selanjutnya.
"Dalam keadaan yang sedikit kecoh sebab ramai mahu bersalam, dia tiba-tiba ramas punggung aku!"
Tersembur air yang dihirup Suhada. Bulat matanya sambil wajah terpinga-pinga. Seperti mendengar cerita nampak puntianak di malam Jumaat.
"Pemimpin anugerah Tuhan itu?"
"Anugerah setan!"
Mereka berdua ketawa.
"Aku ingat kau totok menyokong dia, isteri, anak dan para kroni yang menang besar dalam pemilihan parti!'
"Aku sudah tertipu Tipah!" Amira terus terkekeh. "Kau bayangkan aku pernah keluar masuk penjara, turun naik mahkamah kerana ditangkap polis. Tak serik berdemonstrasi secara haram hanya mahu memperjuangkan kebebasan dia. Mahu menjadikan dia pemimpin utama negara sebab dari pembawaannya memang dia cukup pandai berlakon, jauh lebih hebat dari pelakon Tamil.
"Apakah kau tidak dibayar seperti mana ramai pemimpin lain yang keluar atau disingkir parti sebelum ini? Ada yang dikatakan menerima jutaan ringgit kerana menghentam pemimpin anugerah setan itu dan keluar dari perjuangan parti. Berapa juta kau dapat?"
Amira terus terkekeh. Teringat menonton kembali video yang disimpannya dan terjumpa video pendedahan mengenai kelakuan luar tabii pemimpin pujaan yang sebelum itu dianggap video jahanam. Apa yang ditontonnya, pertama kali walau video lama disimpan, nasib baik tidak dibuang itu memberi kecerahan pada minda yang diselaputi buruk sangka pada pihak berkuasa.
"Dulu pun aku percaya yang mereka keluar parti itu dibayar jutaan, walhal ramai yang keluar sebab memang sudah muak, jelak dan tahu kebenaran yang selama ini tertutup oleh propaganda licik pemimpin itu dan parti. Kalau aku dibayar jutaan ke, ribuan ke, tidaklah aku jadi penjual kain di kaki lima untuk menanggung kehidupan!"
"Tidak mahu mendirikan rumahtanggakah?"
Amira tersenyum memandang ke arah para lelaki lembut yang sama-sama bersantai dalam hujan lebat. Kelihatan lelaki-lelaki itu mengusik sesama sendiri seolah-olah pasangan bahagia.
Suhada sama memerhati satu fenomena yang semakin menjadi biasa, apalagi sudah ramai yang muncul di youtube mengaku 'Saya gay dan saya okay."
Suhada merasa bertuah kerana suaminya, lelaki jati yang sama membenci kemunculan semula kaum Nabi Lut itu terus memberikan peluang mereka berdua bersantai dengan membawa anak-anak ke sebuah pawagam, menonton filem Melayu bercorak seram komedi yang sedang hangat.
Dua rakan sekolah yang berpisah oleh kehidupan memang akrab dan kembali akrab melalui Facebook, jaringan sosial milik pemuda Yahudi yang sudah bertaraf billionair.
"Menantikan lelaki bertuah anugerah Tuhan, bukan anugerah setan dan bukan lelaki-lelaki lembut yang semakin ramai itu!"
Jawab Amira bersama hujan lebat dengan kilat sabung menyabung menjadikan sembang petang semakin rancak.
NEWCASTLE:
Tok Guru duduk bersila sambil menonton siaran berita stesen TV antarabangsa di sebuah hotel. Satu-satunya stesen TV yang ditontonnya kerana berpengkalan di Doha. Tok Guru telah lama menganggap media lain semuanya boneka di sebalik agenda pemerintah atau Yahudi. Semuanya dipenuhi propaganda, berita separuh benar, maklumat palsu dan kabur untuk mengelirukan umat Islam.
"Kalau WikiLeaks boleh cerita pasal dia, apalagi maklumat sulit dari perisikan negara pulau yang hebat dan rakan sekutu Yahudi itu, rasanya adalah kebenarannya!"
Sepatah kata-kata Tok Guru yang sedang bercuti jauh setelah selesai menunaikan fardu haji untuk sekian kali. Mulanya sebagai alasan tidak mahu sertai konvensyen barisan parti-parti yang turut didukung oleh partinya sendiri. Tidak mahu kelihatan bersama pemimpin yang disebut dalam WikiLeaks setelah bertahun-tahun percaya bulat-bulat.
Keraguan timbul sebaik pendedahan WikiLeaks yang dianggap Tok Guru sebagai pembocor maklumat paling sahih dalam dunia yang dipenuhi agenda dan konspirasi Yahudi. Tok Guru yang selama ini mendengar nasihat dari seorang bekas setiausaha politiknya bernama Husien mula melihat diluar tempurung persepsinya. Tok Guru mula meragui Husein yang memberikan pelbagai maklumat untuk merangka strategi politik sehingga dia anggap pemimpin parti berlogo Freemason itu mesti dipertahankan, walau ramai dikalangan pemimpin partinya sendiri memang tidak sehaluan. Parti hampir berpecah kerana ada yang melabel diri sebagai puak Ataturk itu kelihatan taksub sekali dengan pemimpin yang pernah sensasi itu.
"Saya tengok wajah dia pun semakin buruk, berserabut dan kusut masai macam orang jahat!"
Sekali lagi Tok Guru membuat ulasan sendiri menatap potret yang terpampang di skrin TV. Tok Guru memandang Hasan yang terbang dari New York untuk bersemuka dengan lelaki yang memang menjadi idolanya. Hasan mahu Tok Guru mendengar sendiri dari mulutnya, dari seorang anak yang lama menderita emosi dan psikologi. Kesempatan terbuka yang dinantikan akhirnya bagai pucuk dicita, ulam yang datang.
Rupa-rupanya, Tok Guru sama sahaja tarafnya dengan ramai mereka yang sudah terpedaya. Kasyaf dan bacaan hati Tok Guru tidak dapat menembusi tembok jahanam yang kelihatan cahaya, sekadar fatamorgana, montaj satu ilusi perjuangan yang penuh dengan batu-batu jalan ke neraka.
Mesej dari anak Tok Guru melalui Facebook adalah kemuncak satu penantian untuk membetulkan satu keadaan yang semakin kalut dengan kemelut yang berterusan. Mesej yang menjadikan salji dan penangguhan banyak penerbangan bukan halangan untuk satu sejarah, kalau tidak sejarah dunia, sejarah dalam hidupnya yang dipenuhi tragedi dan peristiwa hitam.
Segalanya kerana seorang lelaki yang dipanggil ayah, lelaki yang seperti ungkapan Tok Guru, muncul sebagai jembalang. Dr Jekyll itulah juga Mr Hyde. Musang yang bogel apabila bulu-bulu ayam dicarik oleh WikiLeaks.
Hasan bersedia untuk meluahkan semuanya, segala yang tersimpan sejak dia dapat mengingat apa yang telah terjadi dari usia kanak-kanak. Dari mindanya mula dapat memproses rentetan kejadian ganjil, kelakuan luar tabii yang terus membayangi saujana ruang kedewasaannya.
Tiba-tiba airmata lebat membasihi pipi Hasan, dia tidak sanggup meluahkan segala yang tersimpan. Terlalu keji, hina, jelik dan kotor untuk diluahkan di depan Tok Guru. Hasan terasa dirinya yang bersalah. Yang berdosa.
Tok Guru datang memeluk. Erat dengan penuh kasih sayang. Tok guru tersedu dan terharu melihat anak yang tidak berdosa menjadi mangsa kebuasan seorang manusia jalang yang bertopengkan agama. Lebih dari itu, wajah-wajah para marhaen yang sama-sama keluar di jalan-jalan raya, korbankan wang, masa dan tenaga untuk kebebasan seorang lelaki yang dianggap wira itu seakan memenuhi setiap pandangan. Suara-suara mengejek dan memaki mengasak ke gegendang Tok Guru yang sama merasa bahang satu kesilapan dalam percaturan dan perkiraan politik.
"Cis! Dia memang anugerah setan!"

Thursday, November 11, 2010

SURAT TERBUKA UNTUK YANG BERHORMAT DSAI

copy paste dari blog drmaza.com


Saya baru sahaja membaca kenyataan YB DSAI bahawa kenyataan menyuruh beliau berundur adalah satu perancangan. Ini rentetan Dato Zaid Ibrahim yang membuat gesaan yang sama. DSAI menyatakan bahawa saya juga telah digunakan oleh Utusan. Walaupun, pada awalnya saya berniat tidak mahu lagi menyentuh isu ini, tetapi perkataan ‘digunakan’ itu agak berat. Izinkan saya menyebut beberapa perkara;

1. Untuk pengetahuan DSAI, secara peribadi saya tidak memusuhi DS. Bahkan saya simpati dengan keadaan beliau sekarang. DS sendiri tahu adanya persahabatan yang baik antara pihak saya dan DS. Kenyataan saya tidak menyebut isu peribadi DS. Kenyataan saya hanya tentang soal keberkesanan pembangkang dan memastikan keseimbangan politik antara kerajaan dan pembangkang.
2. DSAI, biasanya apabila saya ingin melontarkan pandangan politik yang besar, saya akan merujuk terlebih dahulu kepada beberapa orang ‘pemikir politik’ yang –bagi saya- tajam dan kritis. Mereka akan memberi pandangan balas. Mereka ini sebahagian ‘tidak mesra kerajaan’ dan sebahagiannya neutral. Tapi dalam isu ‘pengunduran DSAI’, saya tidak merujuk kepada sesiapa. Saya hanya berpada dengan pemerhatian dan kajian umum saya. Ya, setiap kita di samping apa yang kita faham, kita juga mungkin mempunyai ‘instinct’ tersendiri dalam mengagak sesuatu perkara. Saya sendiri agak ragu-ragu sebelum kenyataan itu saya minta moderator saya siarkan dalam Minda Tajdid. Pada awal moderator Minda Tajdid sendiri pun risau. Saya minta siarkan kerana tiada isu peribadi, ia hanya pandangan tentang politik Malaysia. Maksud saya, tiada siapa gunakan saya ketika kenyataan ini keluar.
3. Seperti yang pihak Utusan laporkan, mereka memetik dari website saya. Mereka tidak mengambil kenyataan itu dari mulut saya. Mereka memetiknya dari kenyataan yang disiarkan dalam website saya. Petikan mereka juga tepat, cuma tajuk agak ‘garang’. Bukan kenyataan exclusive untuk mereka. Sebaliknya, Malaysian Insider dan Malaysiakini mendapatkannya secara langsung dari saya. Maka, tiada perancangan antara saya dan Utusan.
4. Saya pun tidak tahu bahawa Dato Zaid Ibrahim dan Saudara Mustafa Kamil Ayyub akan membuat tindakan dan kenyataan yang seperti itu. Hal itu berlaku selepas beberapa hari dari kenyataan saya. Tentunya, saya tidak berada di belakang mereka.
5. Jasa, sumbangan dan kesan DSAI dalam bidang politik akan tetap dikenang dan menjadi sejarah tanahair. Di sudut pemikiran Islam, DSAI jauh lebih luas dari banyak pihak. Dari sudut pidato, DSAI masih mantap. Dari sudut umur, DSAI belum terlalu tua dalam politik. Namun, bagi saya jangka hayat politik seseorang bukan sahaja faktor umur dan pidato, banyak lagi persoalan lain yang wajar diambil kira. Salah satu unsur yang penting; kemampuan mengendali rakyat bawahan dan kemampuan mempengaruhi rakyat tentang idea yang dibawa. Jika hal itu mula merosot, maka tahap politik seseorang juga hakikatnya mula merosot. Jika itu dapat ditingkat, atau dipertahankan, bererti kemampuan kepimpinan seseorang masih utuh.
6. Kita tetap memerlukan pembangkang yang kuat dan berkesan dalam negara ini. Jika mereka hendak menjadi kerajaan alternative pun, mereka mestilah jadi lebih baik, terurus, meyakinkan dan berkualiti. Itulah harapan rakyat marhaen seperti saya.
7. Apapun, saya tetap bersimpati dengan pergolakan akhir PKR, parti DSAI. Namun, hal ini memang boleh dijangkakan oleh ramai pemerhati dari awal lagi. Bukanlah hak saya mencampuri parti DSAI. Tetapi hak saya memberikan harapan atau pandangan kepada Ketua Kerajaan dan Ketua Pembangkang kerana mereka mendapat peruntukan negara dan mereka penentu masa depan rakyat.
8. Apa yang berlaku, anggaplah itu pendapat saya secara peribadi. Bukan pandangan hukum, bukan juga satu paksaan. Pandangan yang boleh diterima dan ditolak. Bak kata YB Nurul Izzah, biarlah rakyat dan parti yang menentukan. Pandangan insan terdedah kepada salah dan silap. Apatahlagi pandangan insan kerdil seperti saya. Namun, masa yang berjalan dan peristiwa yang bakal terjadi akan memperlihatkan sejauh manakah kebenaran sesuatu andaian atau ramalan. Jika satu hari DSAI dapat bukti saya silap dalam andaian tersebut, maka rakyat tahu saya membuat andaian yang tidak tepat dan dengan redhanya saya akan berkata ‘andaian saya salah!’. Jika sebaliknya, maka jawapannya pun sebaliknya.
9. Sebagai muslim, apa yang penting bagi saya, hubungan ukhuwwah islamiyyah antara saya dan DSAI harap tidak terputus. Politik kepartian boleh datang dan pergi, namun hati nurani Islam kita mesti kekal abadi. Saya telah sms secara peribadi kepada DSAI, agar tidak rosak hubungan Islamiyyah ini. Pandangan saya hanya untuk renungan politik, bukan isu peribadi. Justeru, sebagai saudara muslim, saya sekali lagi –seperti kenyataan awal- pohon kemaafan atas pandangan tersebut. Namun saya masih mempercayai pandangan itu ada kebenarannya, melainkan Allah S.W.T mendatangkan hal yang sebaliknya. DIA Maha Mengetahui segalanya.
Dengan ini, saya harap kenyataan media DSAI itu dapat dilihat sekali lagi. Apa pun, sekali lagi saya ingin maklum kepada DSAI, Alhamdulillah, tiada siapa yang menggunakan saya dan kita tetap saudara muslim. Wassalam.
Mohd Asri Zainul Abidin
9 Nov 2010, 3.30 p.m
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...