Monday, November 15, 2010

Daud vs Gergasi Jalut

ZAID Ibrahim mempunyai karakter seorang ahli politik yang sebenar. Beliau memiliki tenaga, stamina dan keupayaan mental untuk bertahan daripada asakan, kekecewaan dan kegagalan.
Apabila Zaid yang menarik diri daripada pemilihan Timbalan Presiden PKR Isnin lalu mendesak Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim dan calon Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mengundurkan diri daripada parti itu bagi menyelamatkan PKR yang dilanda penyelewengan politik, beliau melakukannya dengan penuh bersemangat.
Masalah dengan Zaid ialah beliau menghentam serentak Anwar dan Azmin, dua pemimpin kanan PKR yang mempunyai hubungan yang terlalu simbiotik.
Azmin merupakan pemuja Anwar sejak muda. Anwar pula amat mempercayainya.
Ketika Anwar berusia 40 tahun pada 1987, beliau melantik Azmin yang baru berumur 23 tahun sebagai pegawai khasnya di Kementerian Pelajaran sebelum dinaikkan pangkat menjadi Setiausaha Sulit Anwar pada tahun 1989. Azmin memegang jawatan itu pada usia 25 tahun.
Waktu Anwar berada di puncak kuasa sebagai Timbalan Presiden UMNO, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan antara 1993 dan 1998, Azmin merupakan tangan kanan dan orang harapan di pejabat beliau. Azmin terlibat secara langsung dengan permainan kuasa dan intrik dalaman politik Anwar.
Azmin amat setia. Dia berada di sisi Anwar baik ketika Ketua Pembangkang itu tersungkur, dihina, dipenjara mahupun setelah kembali semula merasai sedikit kuasa.
Azmin masih muda. Dia kini baru berusia 46 tahun. Bagaimanapun, hubungan peribadi dan politiknya dengan Anwar telah pun melebihi 23 tahun. Ertinya lebih separuh daripada usia Azmin dihabiskan di koridor politik bersama Anwar, musim demi musim, dengan kesetiaan tidak berbelah bagi.
Zaid yang berani dan maverick harus sedar bahawa beliau berhadapan dengan personaliti ini dalam PKR. Beliau menentang satu gandingan yang tidak pernah terfikir dapat dirobohkan. Malah ada orang percaya tidak mungkin Zaid dapat meruntuhkannya.
Episod Zaid menentang Anwar dan Azmin dalam PKR umpama mengembalikan kisah mustahil pertembungan David lawan Goliath, atau dalam bahasa Melayunya Daud lawan Gergasi Jalut, sebuah kisah politik dan agama dari Asia Barat. Telah lebih 2,000 tahun kisah itu menjadi inspirasi kepada mana-mana ahli politik underdog. Ia juga mungkin memberi ilham kepada Zaid.
Kita tidak tahu siapa yang akan menang, siapa yang berkubur dan apakah kesan limpahan perseteruan terbaru PKR antara Zaid, Anwar dan Azmin. Namun, yang pasti, seperti juga Anwar dan Azmin, Zaid mempunyai karakter unik ahli politik, dan ia menjadikan permusuhan tersebut menyeronokkan untuk dilihat apakah bentuk penamatnya.
Zaid sukakan cabaran. Beliau meminati kuasa. Beliau bercita-cita tinggi. Beliau inginkan kemenangan.
Peguam terkenal dari Kota Bharu itu sudah pasti memerlukan keajaiban, sokongan dan bantuan kawan-kawannya dalam PKR untuk menumbangkan Anwar dan Azmin.
Selain itu, sudah pasti beliau juga memerlukan pertolongan Tuhan sebagaimana kisah Daud menentang Gergasi Jalut.
Dalam menangani krisis yang penutupnya amat mengesankan dan bakal membentur PKR, adalah menarik untuk dianalisis peranan Presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail yang secara kebetulan merupakan isteri Anwar.
Dapatkah Zaid meraih simpati Wan Azizah?


sama-sama kita melihatnya

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...