-jangan bersin depan pakwe-
Awas tempias bersin!
Jangkitan virus influenza, ada kalanya dikenali sebagai "flu", sangat
mudah berlaku dan menyebabkan gejala umum seperti demam, sakit kepala
dan sengal otot, serta hidung tersumbat, sakit tekak, hidung berair dan
batuk. Pada masa dahulu, masyarakat di negara tropika dan subtropika
menganggap influenza hanya berlaku di negara barat yang beriklim lebih
sejuk.
Bagaimanapun, sistem pemantauan influenza di Malaysia dan negara
jiran sentiasa menunjukkan bahawa influenza adalah punca utama penyakit
di kalangan kanak-kanak. Sejak virus influenza yang biasanya terdapat
dalam burung (A/H5N1) menjangkiti manusia di Asia Timur pada 1997,
kerajaan telah menambah baik dan meluaskan pemantauan. Selain mengenal
pasti virus jenis baru yang boleh menyebabkan wabak global yang serius,
sistem pemantauan ini memberi maklumat yang berharga tentang siapa yang
mendapat influenza dan bila jangkitan paling banyak berlaku. Di
Malaysia, jangkitan influenza berlaku sepanjang tahun dan memuncak
antara Mei-Jun dan Ogos-September. Pengetahuan ini boleh membantu pihak
berkuasa kesihatan dan doktor anda membuat keputusan yang lebih baik
untuk mencegah influenza menerusi pemvaksinan dan untuk merawat
jangkitan influenza di kalangan kanak-kanak yang lebih berisiko
mengalami komplikasi serius.
Kita perlu mengubah tanggapan umum bahawa influenza bukan penyakit
biasa dan bukan pula penyakit teruk. Virus influenza sentiasa tersebar
di seluruh dunia, menyebabkan berjuta-juta orang jatuh sakit dan
kerugian ekonomi yang sangat besar, terutamanya dari segi kehilangan
hari kerja dan sekolah, dan berjuta-juta kunjungan ke klinik. Dalam
selang waktu yang tidak dapat diramalkan, virus influenza jenis baru
boleh muncul, menyebabkan kebanyakan orang tidak mempunyai pelalaian
untuk melindungi diri daripada ancamannya. Ini boleh mengakibatkan wabak
global, seperti yang berlaku pada 2009 apabila virus influenza H1N1
muncul. Setakat Ogos 2010, lebih 214 negara telah diserang wabak H1N1,
dengan lebih 18,449 kematian dilaporkan. Di Malaysia sahaja, sehingga
bulan Mei 2010, sebanyak 14,772 kes H1N1 disahkan dengan 87 kematian
dilaporkan.
Amalan menjaga kebersihan seperti membasuh tangan dengan kerap,
menutup mulut apabila bersin dan batuk, dan tidak keluar rumah apabila
merasa tidak sihat, boleh membantu mengurang penyebaran influenza.
Bagaimanapun, pada hakikatnya, tabiat ini sukar diamalkan, lebih-lebih
lagi di kalangan kanak-kanak dan dalam keadaan sesak. Cara paling
berkesan untuk mencegah jangkitan influenza ialah dengan pemvaksinan
tahunan.
Tempias bersin
Sebab utama influenza sangat mudah berjangkit ialah kerana ia boleh
tersebar daripada seorang kepada seorang menerusi tempias daripada mulut
apabila seseorang yang dijangkiti batuk, bersin ataupun bercakap.
Tempias virus dalam udara boleh menjangkiti orang yang menyedut udara
ini. Virus influenza boleh juga tersebar apabila seseorang menyentuh
permukaan atau objek yang tercemar.
Anda boleh menyebarkan influenza sebelum anda sendiri menyedari anda
dijangkiti, kerana manusia boleh menjangkitkan virus ini kepada orang
lain bermula satu hari sebelum penyakit ini menunjukkan gejalanya. Orang
yang dijangkiti boleh terus menjangkitkan virus ini kepada orang lain
sehingga 5 hari selepas mereka jatuh sakit, iaitu apabila mereka mula
menunjukkan gejala penyakit. Kanak-kanak yang dijangkiti influenza
selalunya mengalami gejala gastrousus seperti loya, muntah dan juga
cirit-birit.
Menjauhkan masalah
Jika dibiarkan dan tidak dikawal, virus influenza sering menyebabkan
wabak di rumah, sekolah dan dalam masyarakat. Pemvaksinan adalah langkah
paling penting yang anda boleh ambil untuk mencegah jangkitan
influenza. Disebabkan virus sentiasa berubah, vaksin influenza sentiasa
dikemas kini untuk memastikan perlindungan daripada jenis virus yang
sedang tersebar. Terdapat juga virus jenis utara dan jenis selatan,
merujuk kepada wabak yang berlaku semasa musim sejuk di kedua-dua
hemisfera. Inilah juga sebabnya kita perlu mengambil vaksin influenza
setiap tahun. Vaksin influenza paling baru bagi 2010-2011 melindungi
kita daripada tiga jenis virus influenza A (H3N2 dan H1N1) dan
influenza B jenis yang paling biasa tersebar.
Tahukah anda bahawa jangkitan influenza juga boleh menyebabkan komplikasi perubatan yang serius?
Utusan malaysia - KEsihatan